Penyeliaan Pelajar
Tugasan Selain Pengajaran
Penyeliaan pelajar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu penyeliaan projek tahun akhir pelajar ijazah sarjana muda/diploma, penyeliaan latihan industri/latihan mengajar pelajar ijazah sarjana muda/diploma, dan penyeliaan pelajar pasca. Strategi penyeliaan projek tahun akhir dan penyeliaan pelajar pasca adalah berpusatkan kepada pelajar di mana mereka dibenarkan memilih tajuk disertasi pilihan sendiri dan merancang konsultansi secara kendiri. Walau bagaimanapun, pemantauan tetap dilakukan terutamanya apabila melibatkan pelajar yang bermasalah. Bagi pelajar sarjana muda dan diploma, mereka diwajibkan untuk bertemu secara bersemuka dan melaporkan perkembangan projek yang dilaksanakan sekurang-kurangnya satu kali pertemuan dalam tempoh satu bulan.
Bagi penyeliaan latihan mengajar dan latihan industri, jumlah pelajar seliaan bergantung kepada nisbah pelajar:pensyarah pada semester berkenaan. Kawasan penyeliaan bergantung kepada negeri yang dibenarkan oleh pihak Pusat Latihan Mengajar dan Jalinan Industri (PULAMI). Bilangan penyeliaan pula adalah sebanyak dua hingga tiga kali dengan sekurang-kurangnya satu kali penyeliaan secara bersemuka. Kaedah penyeliaan secara klinikal diamalkan sepanjang sesi penyeliaan terutamanya melibatkan penyeliaan latihan mengajar. Kaedah ini membenarkan pelajar diukur bermula dari kebolehan awal individu yang menjadi benchmark sehinggalah kepada sejauh mana kebolehan tersebut berkembang. Oleh kerana itu, penyeliaan kali pertama adalah amat penting untuk menentukan penanda aras permulaan kepada pencapaian latihan mengajar individu berkenaan. Penentuan markah untuk gred akhir mengambil kira perbezaan markah penyeliaan terakhir berbanding markah benchmark dan bukan hanya melihat kepada pencapaian markah penyeliaan kali terakhir sahaja.