top of page

Tradisi Pengajaran dan Pembelajaran 

Kisah

Segalanya bermula di sini

'Kebanyakan kursus yang diajar merupakan kursus tiga jam kredit merangkumi diploma, sarjana muda, diploma lepasan ijazah, dan sarjana. Proses pengajaran dan pembelajaran (pnp) kursus-kursus ini biasanya dilaksanakan melalui pertemuan bersemuka melalui kuliah selama dua jam, dan diikuti kelas amali di dalam makmal selama satu atau dua jam. Bagi kursus empat jam kredit, ianya dilaksanakan secara pertemuan bersemuka selama empat jam melalui kuliah atau amali.'

1.0 Amalan pdp menerusi Kuliah

Satu pendekatan tradisi

Saya mengimplementasi strategi berpusatkan guru semasa aktiviti pengkuliahan bagi kursus diploma dan sarjana muda, terutamanya bagi kursus Senibina dan Organisasi Komputer. Strategi ini bersifat autokratik di mana ia mengutamakan pencapaian objektif pdp, di mana pelajar hanya berperanan sebagai pendengar pasif kepada kuliah yang disampaikan berbantu slaid. Dalam situasi ini, penyampaian kandungan kursus merupakan proses satu hala yang berfokus kepada pensyarah sebgai sumber pengetahuan. Untuk menyampaikan kandungan bersifat abstrak, saya gemar menggunakan analogi yang berkait dengan kehidupan harian agar lebih mudah difahami oleh pelajar. Teknik ini sesuai untuk pelajar yang kebanyakannya merupakan pelajar semester pertama tahun pertama dan tidak mempunyai latar belakang pendidikan teknologi maklumat.

 

Pelajar dibenar untuk bertanyakan soalan secara verbal atau bertulis. Ia lebih santai kerana terdapat pelajar bersifat introvert dan segan untuk bersuara. Soalan tersebut akan dijawab oleh pensyarah atau pelajar lain dengan menggunakan laras bahasa yang mudah difahami sesama pelajar. Tambahan lagi, saya gemar bertanyakan soalan secara terbuka. Sekiranya pelajar berani menjawab melalui verbal atau teks, mereka akan diberi merit samada dalam bentuk markah tambahan, wang ataupun makanan. Pendekatan ini dipercayai mampu memotivasikan pelajar supaya lebih aktif di dalam kelas. Bagi pelajar yang gagal menjawab soalan, mereka akan diberi penalti berdiri di lokasi masing-masing sehingga ada pelajar lain yang berjaya menjawab dengan betul ataupun sehingga kelas tamat. Ada juga situasi yang membolehkan pelajar memilih jenis penalti yang lebih digemari/selesa seperti menyanyikan lagu motivasi di hadapan kelas. Double-click atau single-click imej di bawah untuk melihat bukti bergambar.

Kadangkala, sesi pdp turut diselitkan dengan sembang santai berkenaan isu semasa, kisah sejarah, atau tokoh penting terutamanya sewaktu aktiviti kuliah. Selain dari mampu mengurangi tekanan belajar, teknik ini juga secara tidak langsung mendedahkan pelajar kepada perihal bukan akademik yang berunsurkan adab, akhlak, dan sifat bertanggungjawab. Aktiviti lain yang membentuk moral termasuklah bacaan doa sebelum kelas bermula oleh ketua kelas yang dilantik pada awal semester. Di akhir kelas, pelajar bersalaman tangan atau mengucapkan terima kasih kepada pensyarah. Amalan ini terus dilaksanakan walaupun kelas dilaksanakan secara dalam talian melalui ucapan salam dan panggilan ganti diri yang sesuai. Amalan ini menimbulkan rasa hormat pelajar kepada pensyarah dan kesannya dapat dilihat selepas mereka tidak lagi bergelar pelajar kepada pensyarah berkenaan. Apa yang menarik ialah amalan ini tidak mendapat bantahan dari pelajar bukan muslim malah mereka turut melakukan amalan yang sama.  

 

Walau bagaimapun, strategi yang digunakan untuk kursus Projek Kejuruteraan Perisian agak berbeza. Ini adalah kerana kursus ini melibatkan aktiviti pembangunan projek sepenuhnya. Oleh itu, strategi yang diamalkan adalah berpusatkan pelajar melalui kaedah pembelajaran berasaskan projek. Melalui aktiviti berkumpulan, pelajar dikehendaki untuk menghasilkan dokumen software requirement specification (SRS), software development document (SDD) dan software testing report (STP) berpandukan fasa yang terkandung di dalam kitar hayat pembangunan sistem (SDLC). Pertemuan bersemuka hanya berlaku dalam reka bentuk 'mesyuarat' di antara pensyarah sebagai pengurus projek utama dan barisan pelajar sebagai ketua projek, pembangun perisian, pereka bentuk perisian, pengurus projek perisian, dan system analyst bertujuan untuk membentangkan dokumen mengikut carta Gantt yang telah ditetapkan di lokasi yang ditentukan sendiri oleh pelajar. Pada akhir semester, pelajar dikehendaki untuk membentangkan projek yang telah siap dibangunkan di hadapan kelas.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagi kursus Rekabentuk Perisian, strategi pdp yang diamalkan adalah berpusatkan pensyarah. Kuliah dan amali digabung memandangkan kursus ini tidak melibatkan perisian yang komplikated dan boleh dipelajari secara kendiri oleh pelajar. Berdasarkan piawai antarabangsa dokumen SRS oleh Infosys Ltd., pelajar dikehendaki untuk menghasilkan dokumen yang diperlukan.  

Bagi kursus Keselamatan Rangkaian yang melibatkan pelajar sarjana, pendekatan yang digunakan adalah berpusatkan pelajar. Pelajar dikehendaki untuk memilih satu topik di dalam kursus dan menyediakan ulasan artikel mengenainya secara individu. Dapatan perlu dibentangkan di hadapan kelas dan diikuti dengan sesi soal jawab. Pensyarah bertindak sebagai fasilitator bagi melanjutkan sesi soal jawab kepada perbincangan yang lebih luas. Aktiviti berkumpulan turut melibatkan penganjuran seminar oleh pelajar di mana jemputan panel dari industri dilakukan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang relevan. Kreativiti dan komitmen pelajar adalah diperlukan agar seminar yang dianjurkan memberi impak kepada komuniti. Justeru, pelajar telah menjemput influencer terkenal Mat Luthfi dab Anwar Hadi untuk menarik minat orang awam untuk menyetai seminar yang dianjurkan secara percuma ini. 

seminar4.jpg
seminar1.jpg
seminar3.jpg

Penganjuran seminar oleh pelajar kursus ini telah berjaya mendapat penajaan dari Parit Teguh Enterprise, Awamin Enterprise, Mansor Company, Arniza Company, Telus Khidmat Enterprise, Haniff Enterprise, Zohdi Enterprise, Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd. dan Dell dengan jumlah keseluruhan wang tunai RM1650, sebuah mesin pencetak dan dua buah laptop. Manakala jumlah peserta dan pelawat juga menjangkau 1000 orang. Pemenang bagi pertandingan ‘Edu-vlog Challenge’ yang dianjurkan sempena seminar juga tersenarai pendek di dalam pertandingan keselamatan cyber yang dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia.

seminar6.png

2.0 Pdp melibatkan amali dalam makmal 

Satu pendekatan tradisi

Melalui aktiviti amali dalam makmal, strategi berpusatkan pelajar melalui teknik sumbangsaran, soal jawab, dan perbincangan secara berpasangan atau berkumpulan sering menjadi amalan bagi kebanyakan kursus yang diajar. Pada peringkat awal, pelajar dibenarkan menyiapan tugasan di luar waktu kelas pada bila-bila masa namun implementasi student learning time (SLT) menyebabkan pelajar perlu menyiapkan tugasan mengikut jam yang telah ditetapkan. 

Selain dari itu, teknik demontrasi turut diamalkan terutamanya ketika melibatkan topik penyelenggaran perkakasan dan perisian komputer bagi kursus Senibina dan Organisasi Komputer. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman konkrit terhad di dalam makmal sahaja diaplikasi, di mana pelajar akan menginstal dan menyelenggara komputer secara individu, berpasangan mahupun berkumpulan sebaik sahaja selesai sesi demonstrasi oleh pensyarah. Pengalaman sebegini membolehkan pelajar memiliki kemahiran autentik yang dapat dipindahkan luar kelas. Saya telah menyaksikan sendiri kejayaan pelajar menjalankan perniagaan perkhidmatan baikpulih komputer selepas tamat mengikuti kursus ini. Situasi ini amat menggembirakan saya sebagai pensyarah dan berharap pelajar mampu berdikari mencari duit poket sendiri tanpa bergantung kepada ibubapa. 

Bagi kursus Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar program diploma lepasan ijazah, strategi pdp yang diimplementasi di dalam makmal lebih fleksibel kerana ia bergantung kepada struktur program yang ditawarkan samada untuk satu semester ataupun seringkas satu minggu. Saya memilih untuk melaksanakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek kerana pendekatan ini membenarkan kursus dijalankan secara fleksibel. Malahan lagi, pendekatan ini membenarkan saya membezakan tempoh perlaksanaan kursus berdasarkan tahap kesukaran projek yang perlu disiapkan oleh pelajar dengan menggunakan perisian Movie Maker, Powerpoint, Photoshop, Audacity, dan Flash. Kesemua perisian ini diperkenalkan melalui teknik demonstrasi dalam kelas amali. Di akhir kursus, pelajar akan membentangkan artifak alat bantu mengajar dalam bentuk perisian pendidikan yang dihasilkan sepanjang kursus. Kursus diploma juga menggunakan pendekatan yang sama namun perisian yang digunakan ialah  perisian pemprosesan perkataan Microsoft Word, Microssoft Powerpoint, dan Microsoft Excel. 

 

Bagi membantu pelajar sebelum menduduki peperiksaan akhir, lazimnya saya akan mengadakan kelas tambahan. Rekod kelas tambahan paling lama yang pernah diadakan adalah selama 13 jam 30 minit.

Di samping itu, penganjuran solat hajat dan bacaan yaasin juga menjadi rutin sebelum pelajar menduduki peperiksaan akhir. Program seperti ini membantu mendidik jiwa agar patuh kepada konsep usaha, doa, dan tawakal. 

yasin2.jpeg

3.0 Amalan Pentaksiran

Satu pendekatan tradisi

Hampir kesemua kursus menetapkan kerja kursus sebagai pentaksiran formatif dan peperiksaan akhir sebagai pentaksiran sumatif pelajar dengan nisbah 60:40 atau 70:30. Peperiksaan akhir diuruskan secara berpusat oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik. Implementasi kerja kursus pula bergantung kepada rancangan pengajaran atau proforma kursus yang telah dirancang dan disediakan oleh pensyarah pada awal semester. Markah kerja kursus diperolehi dari aktiviti kuiz, ujian pertengahan semester, tugasan individu dan kerja berkumpulan. Terdapat juga kursus yang menetapkan kehadiran dan penglibatan aktif pelajar di dalam kelas sebagai penyumbang kepada markah kerja kursus. Semua kaedah pentaksiran direka bentuk untuk mentaksir pencapaian hasil pembelajaran kursus yang telah ditetapkan.

 

Terdapat juga perlaksanaan kuiz yang memerlukan pelajar melakukan aktiviti amali. Kebiasaannya pelajar akan diberi tempoh satu hingga dua jam untuk menyelenggara dan memasang perkakasan komputer dan sistem pengoperasian secara individu. Pentaksiran dilakukan dengan menggunakan rubrik yang telah ditetapkan. Pentaksiran secara praktikal berupaya  kemahiran autentik berbanding pentaksiran secara bertulis.  

Perbezaan antara pentaksiran melalui kuiz dan ujian pertengahan semester adalah dari segi jumlah topik yang terlibat dan kekerapan pentaksiran diadakan. Pentaksiran melalui kuiz biasanya melibatkan topik yang sedikit, namun kekerapannya melebihi pentaksiran melalui ujian pertengahan semester. Pentaksiran melalui kuiz membenarkan pelajar memperbaiki markah kerja kursus kerana pentaksiran dilaksanakan lebih dari sekali berbanding pentaksiran melalui ujian pertengahan semester yang hanya diadakan satu kali sahaja. 

 

Selain dari kuiz dan ujian pertengahan semester, tugasan individu juga menjadi sebahagian dari strategi pentaksiran. Terdapat kursus yang memerlukan pelajar menghantar tugasan individu secara berfasa sepanjang semester dan terdapat kursus yang berlaku sebaliknya. Terdapat juga kursus yang menjadikan tugasan makmal yang diimplementasi melalui sumbangsaran, soal jawab dan perbincangan yang selari dengan SLT sebagai strategi pentaksiran. Hantaran tugasan pula berada dalam pelbagai bentuk seperti dokumen bercetak, perisian, atau artifak. Mod penghantaran juga bergantung pada keperluan kursus iaitu samada secara dalam talian atau sebaliknya. 

 

Penilaian melalui projek berkumpulan biasanya dilakukan satu atau dua minggu sebelum minggu ke-14. Pelajar diberi kebebasan untuk memilih tajuk projek berdasarkan minat dan keupayaan ahli kumpulan. Pada masa yang telah ditetapkan, pelajar akan membentangkan hasil projek di hadapan kelas. Pentaksiran yang dilakukan meliputi kandungan yang dibentangkan, kaedah penyampaian, tindak balas ketika sesi soal jawab dan kemahiran insaniah.

bottom of page