Pentaksiran
Strategi
bagi MTN3013 Senibina dan Organisasi Komputer
Pentaksiran CLO3 & CLO4 melalui amali bersemuka, student-generated content dan media sosial
01
Pentaksiran projek berkumpulan (CLO4) berlaku rentetan dari pentaksiran ujian penyelenggaraan komputer secara individu (CLO3) yang telah dilaksana melalui amali bersemuka. Pentaksiran CLO4 yang dilakukan melalui rubrik khusus turut mengambil kira jumlah views, likes atau komen di platform media sosial seperti Youtube atau Tiktok yang digunakan memuat naik student-generated content yang telah dihasilkan secara berkumpulan. Video yang dimuatnaik akan dibentang dan dinilai oleh rakan sekelas dan pensyarah. Video yang berjaya mendapat markah yang baik akan dipilih sebagai video instruksional kursus dan dimuatnaik ke platform MOOC OpenLearning sebagai amalan strategi student-generated content. Bagi kumpulan yang memilih untuk mereka bentuk casing komputer, penghasilan produk perlu dirakam dan dimuat naik ke media sosial seperti Youtube untuk dibentang dan dinilai. Penilaian yang turut melibatkan jumlah views, likes dan komen berjaya menimbulkan suasana kompetitif yang santai dan mengujakan.
Penilaian pembentangan melalui media sosial memberi impak yang besar kerana turut menarik perhatian masyarakat dari luar negara. Secara tidak langsung, situasi ini turut mempromosi kepakaran yang dimiliki oleh pelajar UPSI ke peringkat antarabangsa.
Pentaksiran CLO3 & CLO4 melalui amali bersemuka dan SULAM/CSR.
02
Strategi pentaksiran turut ditambah baik menerusi aktiviti SULAM dan CSR. Selepas kemahiran pelajar dinilai menerusi ujian penyelenggaraan (CLO3) secara amali bersemuka, mereka akan mula mendekati dan mencari peluang untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat. SULAM membenarkan pelajar belajar menerusi pengalaman sebenar - menyelesaikan masalah berkaitan komputer yang timbul dalam kalangan masyarakat dan melaksanakan langkah penyelesaian yang realistik ke atas masalah yang dikenalpasti. Kumpulan yang diberi pilihan untuk melaksanakan CSR pula menunaikan tanggungjawab sosial seperti pemindahan pengetahuan dan kemahiran melalui penganjuran bengkel. Antara bengkel yang pernah dianjurkan ialah program Karnival Belia PERKASA @REMAJA Orang Asli di Pos Bersih, Ulu Slim. Pentaksiran CLO4 dilakukan oleh pensyarah berdasarkan laporan dan feedback dari komuniti yang terlibat dengan SULAM atau kemahiran yang dikuasai oleh peserta CSR selepas mengikuti bengkel.
Pentaksiran CLO3 & CLO4 melalui amali bersemuka dan pameran/penyertaan pertandingan
03
Pembentangan projek berkumpulan melalui pameran yang dianjurkan sendiri oleh pelajar bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada aktiviti pengurusan acara selain dari aktiviti bersifat akademik. Pelajar kursus MTN3013 Senibina dan Organisasi Komputer perlu menjalinkan kerjasama dengan pelajar sarjana kursus MIN6024 untuk menganjurkan Seminar Green Technology & Cyber Security. Sebelum berlangsungnya pameran, setiap kumpulan pelajar akan membangunkan inovasi bertemakan ‘Aquarium PC’ melalui penggunaan minyak mineral sebagai salah satu elemen yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Inovasi yang bermula dari idea sumbang saran kemudiannya dibangunkan dan dibentangkan melalui pameran yang dihadiri oleh jemputan penilai luar (RMIC, PICT) dan orang awam.
Pengurusan pembentangan projek yang melibatkan pelajar secara holistik memperlihatkan impak positif kepada pelajar dari aspek akademik, personaliti, dan kemahiran pengurusan program. Isu dan masalah yang timbul diselesaikan melalui perbincangan, perkongsian idea, cadangan dan nasihat sesama pelajar, pensyarah dan juruteknik yang terlibat.
Pentaksiran oleh penilai luar memberikan cabaran kepada pensyarah dan pelajar agar menghasilkan inovasi yang lebih kreatif dan inovatif. Pemilihan tema yang menarik seperti kelestarian alam sekitar yang menyokong SDG serta tema kestabilan reka bentuk menghasilkan idea casing komputer yang diperbuat dari akuarium, kayu, jaring wayar, sangkar burung terbuang, getah, papan plastik dan 1001 bahan terbuang yang benar-benar menyumbang kepada amalan pemuliharaan dan pemeliharan alam sekitar. Penilaian dilakukan oleh pegawai RMIC dan PICT serta mendapat tajaan dalam bentuk hamper, perkakasan ICT dan dua buah telefon pintar LENOVO dari pihak industri.
Di samping itu, terdapat juga penilaian berdasarkan pencapaian dalam penyertaan pertandingan di luar universiti. Antaranya ialah melalui penyertaan pertandingan inovasi casing komputer anjuran Kolej Komuniti Hulu Selangor di mana pasukan dari kursus MTN3013 Senibina dan Organisasi Komputer UPSI telah diberikan anugerah khas juri.
Pentaksiran CLO1 dan CLO2 melalui online self-assessment atau pertemuan bersemuka
04
Implementasi MOOC bukan hanya meledakkan inovasi di dalam pdp malah turut memberi impak kepada strategi pentaksiran dan penilaian. Pentaksiran formatif dilakukan melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan secara dalam talian. Teka silangkata, soalan aneka pilihan jawapan (MCQ), soalan struktur, isi tempat kosong dan suai padan merupakan bentuk aktiviti yang disediakan. Aktiviti-aktiviti ini membenarkan pelajar menyemak jawapan secara kendiri. Namun begitu, terdapat bentuk aktiviti yang memerlukan pelajar menghantar dokumen jawapan kepada pensayrah untuk disemak. Penglibatan aktif pelajar untuk melengkapkan latihan dan tugasan secara dalam talian akan diberi gred secara automatik berdasarkan peratus kursus yang dilengkapkan. Pelajar juga akan dianugerahi dengan lencana berdasarkan jumlah kudos yang dikumpul. Strategi ini merupakan sebahagian dari strategi memotivasikan pelajar supaya terus terlibat aktif di dalam pdp.
Pentaksiran sumatif dilakukan melalui kuiz dalam talian menggunakan platform OpenLearning dan Kahoot !!. Sejumlah 28 item MCQ dibangunkan untuk Kuiz 1 dan 25 MCQ item untuk Kuiz 2.
Oleh kerana strategi pdp melibatkan pembelajaran teradun, implementasi pentaksiran melalui kuiz dan peperiksaan akhir turut dilakukan melalui pertemuan bersemuka. Pelajar akan berkumpul di dalam dewan kuliah dan menjawab soalan samada melalui komputer, telefon pintar atau secara bertulis bergantung kepada platform soalan disediakan. Strategi ini membolehkan item soalan terpelihara dari sebarang pencemaran dan pelajar sendiri yang mewakili dirinya untuk ditaksir bagi mengelak penyamaran identiti.